Bagi sesetengah wanita yang taksub mahu melangsingkan tubuh, berhabis ribuan ringgit seolah tidak terasa.
Apa yang penting, impian bertubuh kurus dalam tempoh singkat tanpa perlu menjaga pemakanan atau bersenam dapat dicapai.
Namun, sejauh mana keberkesanan kaedah pelangsingan yang disediakan di pelbagai pusat rawatan berkaitan ini?
Ikuti kisah beberapa wanita yang sanggup berhabis wang ringgit semata-mata mahu kurus dan pandangan pakar mengenainya seperti dicatatkan wartawan Nor Faizah Mohamed (faizah@hmetro.com.my).
DEK terpengaruh dengan harga promosi pada kad baucar sebuah pusat beli-belah, Amy Hamid kini kerugian lebih RM10,000 selepas membayar segala sesi pelangsingan dan krim kurus di dua pusat pelangsingan popular di sekitar Kuala Lumpur.
Wanita yang terbabit dalam bidang teknologi maklumat itu amat teruja ketika menerima baucar itu kerana ingin menguruskan berat badan dalam tempoh singkat sebelum majlis perkahwinannya berlangsung.
"Saya perlu ke sebuah pusat pelangsingan di Bukit Bintang untuk menebus baucar pertama. Sejurus tiba di tempat itu, ia langsung tidak kelihatan seperti pusat kecantikan, tapi seperti klinik biasa.
"Saya kemudian diminta membayar RM500 sebagai yuran pendaftaran termasuk untuk beberapa produk seperti krim panas dan pelembap kulit. Ketika sesi ingin dimulakan, saya berasa ragu-ragu lalu membatalkan hasrat menjalani rawatan di situ," katanya.
Wanita berusia 31 tahun itu seterusnya ke sebuah pusat pelangsingan berhampiran Ampang Point untuk menebus baucar seterusnya.
Kali ini, suasana di pusat itu memang gah dan layanan yang diterimanya hampir sama seperti di spa.
Amy makin teruja untuk kurus selepas pekerja di pusat itu menunjukkan beberapa foto pelanggan yang berjaya menurunkan berat sehingga dinobatkan ratu bulanan di situ.
Namun, harga yang dikenakan kali ini berlipat kali ganda dan tidak termasuk dengan produk pelangsingan yang dipaksa membelinya.
"Yuran pendaftaran saja mencapai RM5,000 untuk rawatan 10 sesi. Pada masa sama, saya dipaksa membeli pelbagai produk seperti minyak ampoule yang digunakan untuk memanaskan badan sebelum tubuh dibalut plastik lut sinar, losen siang, losen malam, kopi diet dan pil.
"Pembelian produk itu saja sudah mencecah RM700 ke RM800. Jika saya enggan membelinya, pekerja pusat pelangsingan itu mula menjaja cerita bahawa sesi yang akan saya jalani kelak tidak akan berhasil tanpa menggunakan produk itu.
"Mahu atau tidak, saya terpaksa membelinya kerana sudah membayar ribuan ringgit," katanya.
Pusat pelangsingan itu mula meletakkan sasaran supaya Amy tampil langsing dalam tempoh tiga bulan. Untuk mencapai sasaran itu, Amy terpaksa menjalani sesi rawatan tiga kali seminggu selama satu setengah jam.
Proses rawatannya dimulakan dengan sesi penyahtoksikan menerusi tiga cara. Pertama, otot dan lemak dalam tubuhnya melalui proses stimulasi dengan mesin khas selama beberapa minit.
Selepas itu, minyak ampoule disapu di seluruh tubuh lalu dirinya dibalut dengan plastik lut sinar bagi mengekalkan bahang panas daripada minyak itu.
Amy seterusnya dibalut dengan selimut getah dan dibiarkan sejam dalam keadaan itu. Akibat terlalu panas, Amy pernah beberapa kali pitam selepas tamat sesi rawatan.
Keperitannya tidak berhenti di situ apabila Amy kemudiannya disuruh mengamalkan diet ekstrem selama enam minggu. Minggu pertama dan kedua dia hanya mengambil telur sebagai sumber protein utama dan dilarang menikmati makanan lain. Telur itu boleh direbus atau digoreng tanpa mencampurkannya dengan kicap atau perasa.
"Kata pekerja pusat itu, ia bertujuan untuk membuang karbohidrat degil dalam tubuh saya. Saya perlu menurunkan berat sehingga lima kilogram (kg) dan jika tidak, saya terpaksa meneruskan diet ini pada minggu berikutnya sehingga mencapai sasaran ditetapkan," katanya.
Minggu ketiga menyaksikan Amy mengharungi diet ayam, di mana dia cuma dibenarkan makan dada ayam yang digoreng tanpa minyak, dipanggang atau direbus.
Diet ayam itu berterusan selama tiga minggu sehinggalah minggu keenam dia disuruh mengambil diet sup sayur-sayuran terpilih iaitu saderi, tomato, kubis dan bawang putih yang dicampur dada ayam.
Pada awalnya, dia berjaya menurunkan berat daripada 78kg ke 70kg. Namun apabila beratnya tidak berubah dan terhenti setakat 70kg, pusat itu menyuruhnya kembali mengambil diet ayam sehingga beratnya susut.
Lebih menyakitkan hati apabila pusat terbabit memintanya menambah bayaran sebanyak RM2,000 kerana menurut mereka, Amy terpaksa mengharungi lebih banyak sesi untuk benar-benar kurus.
Berang dengan permintaan itu, ditambah keadaan kewangan yang makin teruk, Amy mengambil keputusan menghentikan rawatan dan berat badannya tiba-tiba naik mendadak sehingga 75kg.
"Saya serik dengan apa yang berlaku. Sudahlah duit simpanan habis, hasilnya juga tidak memuaskan malah saya rasa tertipu. Kini saya berusaha menurunkan berat badan dengan senaman kerana itu satu-satunya cara yang betul dan selamat," ujarnya.
Source: http://anizyn.blogspot.com/2010/07/duit-habis-badan-tak-susut.html#ixzvQjvGUsN
Bahayanya PMS
-
Sampai dengan 90 percent perempuan di usia melahirkan mengalami beberapa
tingkat premenstrual syndrome (PMS) dan para ahli memperkirakan 3-5 persen
dari m...
13 tahun yang lalu